Isteri 'Bertukar' Wajah Apabila Kantoi Ditangkap Basah
Akibat terlalu panik, seorang lelaki dikatakan cuba memperdayakan penguat kuasa dengan menunjukkan kad nikah ketika dicekup dengan kekasih gelapnya dalam satu operasi cegah maksiat di sebuah hotel bajet di sekitar bandar raya ini, awal pagi semalam.
Difahamkan, dalam serbuan jam 2 pagi, lelaki lingkungan 30-an itu sanggup memaklumkan kononnya sudah bernikah dengan wanita berusia 20-an berkenaan.
Namun, pemeriksaan mendapati wajah wanita pada kad nikah itu tidak sama dengan wajah sebenar pasangan yang dicekup bersamanya di bilik hotel terbabit.
Selepas disoal siasat, kedua-dua mereka mengaku belum berkahwin dan bapa kepada empat anak itu dikatakan sedang dalam proses perceraian dengan isterinya.
Perkara itu dibongkar sepasukan 25 pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menjalankan Ops Ambang Tahun Baru di hotel bajet di sekitar Ujong Pasir dan Plaza Mahkota, di sini, bermula kira-kira jam 12 tengah malam.
Dalam operasi empat jam yang turut mendapat kerjasama polis itu, sebanyak 16 hotel diperiksa dan seramai tujuh pasangan berusia 16 dan 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Sepasang warga Indonesia berusia 28 dan 30 tahun turut dicekup bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang didakwa anak mereka walaupun gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan status pernikahan.
Mendedahkan perkara itu, Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIM Zuruliman Zakaria berkata, operasi itu dijalankan bagi mengesan pasangan terutama remaja yang mengambil kesempatan melakukan maksiat sempena tahun baru.
“Ia lebih memfokuskan kepada hotel bajet menjadi tumpuan kepada pasangan beragama Islam yang bukan mahram disyaki membuat perkara maksiat di bilik hotel disewa mereka,” katanya.
“Justeru, pemeriksaan di premis berkenaan yang membawa kepada penahanan tujuh pasangan atau 12 individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 16 tahun,” katanya yang mengetuai operasi itu.
Menurut beliau, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu berkurung yang mendatangkan syak.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya,” katanya. – Harian Metro
0 Response to "Isteri 'Bertukar' Wajah Apabila Kantoi Ditangkap Basah"
Post a Comment